Sunday, January 9, 2011

Chong Wei mara ke final



(Lee Chong Wei)

KUALA LUMPUR – Jaguh badminton No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei (gambar) berjaya mara ke perlawanan akhir selepas memperoleh kemenangan mudah 21-17, 21-18 ke atas pemain dari Thailand Boonsak Ponsana pada separuh akhir Kejohanan Badminton Siri Super Masters di Taiwan, semalam.

Sungguhpun merasai pengalaman tewas kepada Boonsak pada Sukan Asia Guangzhou tahun lalu di peringkat kumpulan, peristiwa itu tidak menjadi penghalang kepada Chong Wei yang hanya memerlukan 43 minit untuk menjinakkan bintang Thailand itu.

Pada perlawanan semalam, Chong Wei lebih banyak menguasai gelanggang seawal set pertama bermula dengan meninggalkan Boonsak enam mata sebelum lawan menyamakan kedudukan.

Malah, kelemahan Boonsak untuk membalas pukulan kencang Chong Wei di samping banyak melakukan beberapa kesilapan kecil membuka ruang kemenangan set pertama memihak kepada pemain Malaysia itu.

Pada aksi set kedua juga Chong Wei meneruskan permainan rancak untuk memperoleh kutipan mata tanpa memberi ruang mudah kepada Boonsak untuk mendapatkan kemenangan.

Bakal menanti Chong Wei pada perlawanan akhir hari ini ialah pemain dari Denmark, Peter Hoeg Gade yang berjaya menundukkan pemain China, Long Chen di peringkat separuh akhir dengan keputusan 21-19, 21-18.

Gade terpaksa berhempas pulas ketika bertemu Long Chen semalam sebelum boleh mendapatkan kemenangan untuk mara ke peringkat akhir.

Pada perlawanan tersebut, Gade mengunakan kelebihan dalam corak permainan rali untuk mendapatkan mata kemenangan dalam dua set yang berlangsung.

Dalam pada itu, sebelum ini dalam saingan peringkat kumpulan, Gade tewas kepada Chong Wei dengan keputusan 21-14, 21-12 dalam masa 29 minit.


sumber utusan

2 Orang Memberi Komen & Pendapat


EmoticonEmoticon